Artikel ditulis oleh: Editor Setia Kraf
Mahligai impian, itulah gelaran yang paling cocok untuk rumah pertama yang pasti menjadi idaman setiap individu terutama bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga. Jenis rumah, lokasi,persekitaran juga proses untuk memilikinya juga bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun, apabila menjadi realiti dengan memiliki rumah pertama ini, nescaya ianya bagaikan suatu anugerah yang tidak ternilai dalam kehidupan.
Urusan rumah sudah selesai, kini sudah tiba masanya untuk pindah masuk ke mahligai impian anda dan pasangan. Rumah itu kosong! Perlu dilengkapi dan dihiasi segenap ruang. Dan ini merupakan tugasan yang besar dalam diri anda. Jangan panik...
Rumah pertama anda, tentunya sudah bermain di fikiran apa tema dan bagaimana hias letak barangan yang menjadi anganan, bukan? Percayalah, dengan perancangan yang teliti, senaraian bertulis yang jelas, perangkaan belanjawan, dan sikap yang tidak tergesa-gesa membuat sesuatu; anda boleh menjadikan rumah pertama anda sebagai Mahligai Cinta terindah untuk seisi keluarga.
1. Buat Senarai
Menghias rumah idaman anda memerlukan perancangan dan perangkaan bajet yang rapi.Tuliskan semua item yang anda miliki, tuliskan item yang anda perlukan, dan tuliskan item yang anda idam-idamkan untuk dimiliki di masa akan datang. Bila anda keluar untuk membeli barangan dan hiasan rumah, ini akan memudahkan proses pemilihan barang dan pembelian. Jika tidak, anda akan terdorong untuk “over excited” dan berbelanja di luar kemampuan. Fokus kepada tujuan anda dan jangan mudah terpengaruh dengan promosi dan daya tarikan jurujual.
Dan jika anda mempunyai lebihan dari perancangan kewangan awalnya, anda boleh membeli barangan dari senarai item-item yang anda idam-idamkan.
2. Ruang Kamar “Tip-Top”
Melabur membeli katil dan peralatan bilik tidur yang berkualiti bukanlah suatu yang merugikan. Hakikatnya, kita akan memperuntukkan sepertiga hari kita di dalam bilik tidur, jadi logik untuk kita memiliki katil dan peralatan bilik yang berkualiti untuk keselesaan dan penggunaan jangka panjang.
3. Ketahui Dimensi Bilik
Mungkin agak remeh tapi tahukah anda, ramai yang membuat kesilapan dengan membawa pulang perabot yang tidak menepati saiz sebenar rumah. Sekalipun anda rasa cukup yakin dengan hanya ukuran pada pandangan mata, kecenderungan untuk anda membeli barang yang terlalu besar mahupun terlalu kecil cukup tinggi. Pusat pameran perabot yang besar khususnya akan menampakkan item lebih kecil daripada saiz sebenarnya. Jadi bijaklah dalam mengukur dimensi ruang kediaman anda. Terutama sekali perihal ketinggian dan lebar pintu rumah untuk anda membawa masuk perabot nanti.
Apabila mempunyai ukuran yang tepat. Anda akan lebih fokus dalam pencarian dan kurang kecenderungan membeli sesuatu yang tidak sepatutnya. Jika mahu, lukis pelan rumah pada kertas. Kemudian ukur setiap keluasan ruang. Lukiskan kedudukan tingkap, pintu, dan bahagian-bahagian yang berkaitan. Dengan ini anda boleh mula tetapkan susun atur perabot mengikut impian anda dan pasangan.
4. Bukan Dalam Satu Masa
Jangan beli kesemuanya dalam satu masa. Ambil masa untuk menjelajah ke tempat lain yang mungkin bakal menemukan anda dengan perabot yang lebih menepati keinginan anda. Dan luangkan lebih masa untuk duduk di rumah pertama anda itu dan memahami apa yang perlu dan sepatutnya ditambah baikkan.
5. Relaks!
Dan... Antara yang paling mustahak! Anda perlu relaks. Membeli rumah pertama merupakan sekali seumur hidup anda. Jadi nikmati tempoh ini. Pengalaman menghias dan menyempurnakan sebuah kediaman, mahligai impian; ciptalah memori-memori gembira dan abadikan kenangan yang bahagia ini bersama insan yang anda cintai. Enjoy!